Antara
peristiwa agung dalam sejarah umat Islam ialah turunnya kitab suci
al-Quran atau disebut Nuzul al-Quran.Perkara ini dinyatakan dalam
al-Quran, melalui firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat ke 185 yang
bermaksud:
“Ramadan
yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian
manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan
menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.”
FirmanNya dalam ayat pertama surah al-Qadar :
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.
Dalam surah al-Dukhan ayat ke 3 pula Allah s.w.t telah berfirman :
Sesungguhnya
Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami
berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan
dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).
‘Nuzul’ merupakan perkataan Arab yang memberi makna turun atau berpindah, iaitu berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain. ‘Al-Quran’
pula bermaksud bacaan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana al-Quran itu
untuk dibaca oleh manusia. Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam
al-Quran itu terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang
meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat dan
sebagainya.
Menilai ketiga ayat di atas tiada sebarang pertentangan antara ke tiga ayat di atas . Al-Syeikh Ab Rahman al-Sa’adiy menjelaskan dalam tafsir Taysir al-Karim al-Rahman, ‘malam yang berkat’ yang
dinyatakan Allah dalam surah al-Dukhan itu adalah malam yang penuh
dengan kebaikan dan rahmat, yang lebih besar keutamaannya dari amalan
seribu bulan. Maka Allah SWT telah memilih tarikh turun kalamNya buat
pemimpin umat sejagat nabi Muhammad yang penuh dengan kemuliaan itu
untuk berlaku pada hari yang mulia iaitu malam al-Qadr itu sendiri
Menurut al-Syeikh Manna’ Qattan dalam Mabahith Fi Ulum al-Quran
ke tiga ayat ini secara dasarnya menunjukkan penurunan berlaku pada
bulan ramadhan dan secara khususnya ia diturunkan pada malam al-Qadr
yang merupakan suatu anugerah Allah buat mereka yang menghidupkan
malam-malam pada bulan Ramadhan.
Walaupun umat Islam di Malaysia secara tradisinya menyambut peristiwa Nuzul Al-Quran pada 17 Ramadhan, namun sesungguhnya pendapat yang lebih tepat tentang turunnya al-Quran ialah pada malam Isnin, tanggal 24 Ramadhan bersamaan 13 Ogos 610 M.
Ini disebabkan pendapat yang mengatakan berlakunya pada 17 Ramdhan
adalah berpandu pada ayat ke 41 dari Surah Al-Anfaal adalah difokuskan
kepada perisytiwa perang Badar bukannya al-Quran.
Firman Allah dalam ayat ke 41 surah al-Anfal itu,maksudnya :
"…jika
kamu beriman kepada Allah dan apa-apa yang Kami turunkan kepada hamba
Kami (Nabi Muhammad saw) pada hari Furqan,iaitu di hari bertemunya dua
pasukan (diperang Badar, antara muslimin dan kafirin)…"
Menurut
sebuah riwayat yang dikemukakan oleh Ibn Kathir dalam tafsirnya dari
Ibn Abbas , ayat tersebut merupakan penjelasan tentang hukum pembahagian
harta rampasan perang (seperti yang terdapat pada awal ayat tersebut).
" Ketahuilah
sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang,
maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, RasulNya, kerabat-kerabat
(Rasul), anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil (orang yang
sedang dalam perjalanan)…".
Justeru
tarikh yang lebih tepat tentang Nuzul al-Quran adalah pada 24 Ramadhan
kerana ia berdasarkan ayat 1 Surah Al-Qadr dan ayat 1-4 Surah Ad-Dukhan
yang telah dihuraikan di atas.
Menurut
sebuah riwayat oleh Ibn Abbas dan pandangan ini disokong oleh majoriti
para mufassirin, Al-Quran yang diturunkan pada malam "Lailatul Qadar"
sebagaimana disebut di atas adalah Al-Quran yang turun sekaligus ke
"Baitul Izzah" di langit kedunia. Sedangkan Al-Quran yang diturunkan ke
bumi dan diterima Rasullullah sebagai wahyu terjadi secara
beransur-ansur selama sekitar 23 tahun.
Menurut satu riwayat dari al-Hakim, al-Baihaqiy dan al-nasaei dari Ibn Abbas, beliau menjelaskan dari RasululLah saw bersabda :
“ Al-Quran
diturunkan sekali gus oleh Allah ke langit dunia pada malam al-Qadr
kemudian ia diturunkan secara berperingkat dalam masa 20 tahun”
Al
Quran pula telah diturunkan secara beransur - ansur dalam masa 22 tahun
2 bulan 22 hari atau 23 tahun, 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di
Madinah . Ayat-ayat dan surah-surah yang diturunkan sebelum peristiwa
hijrah dikenai sebagai Makkiyah sedangkan yang diturunkan selepas
peristiwa hijrah dikenali sebagai Madaniyyah . Tujuan Allah menurunkan
secara beransur-ansur adaah bagi memenuhi objektif-objektif berikut :
v Agar lebih mudah difahami dan dilaksanakan.
Orang akan enggan melaksanakan suruhan dan larangan sekiranya suruhan
dan larangan itu diturunkan sekaligus dalam kadar yang banyak. Hal ini
disebut oleh Bukhari dari riwayat 'Aisyah r.a.
Di antara ayat - ayat
itu ada yang nasikh dan ada yang mansukh, sesuai dengan kamaslahatan.
Ini tidak dapat dilakukan sekiranya Al Quran diturunkan sekaligus. (Ini
menurut pendapat yang mengatakan adanya nasikh dan mansukh)
Turunnya sesuatu ayat sesuai dengan peristiwa - peristiwa yang terjadi akan lebih berkesan dan lebih berpengaruh di hati.
v Memudahkan penghafalan.
Orang - orang musyrik yang telah menanyakan mengapa Al Quran tidak
diturunkan sekaligus, sebagaimana disebut dalam Al Quran surah Al
Furqaan ayat 32 maksudnya :
"……mengapakah Al Quran tidak diturunkan kepadanya sekaligus….?"
Kemudian dijawab di dalam ayat itu sendiri:
"….Demikianlah, dengan (cara) begitu Kami hendak menetapkan hatimu..".
Di
antara ayat - ayat yang merupakan jawapan daripada pertanyaan atau
penolakan suatu pendapat atau perbuatan, sebagai dikatakan oleh Ibnu
'Abbas r.a. Hal ini tidak dapat terlaksana kalau Al Quran diturunkan
sekaligus. Penurunan al-Quran ini pula berlaku dalam berbagai bentuk.
Menurut Safiyurrahman al-Mubarakfuriyy dalam al-Rahiq al-makhtum , Nabi Muhammad s.a.w. telah diwahyukan mengikut pendekatan-pendekatan berikut :
· Menerusi mimpi yang benar ( al-Rukya al-Sadiqah )
Malaikat
memasukkan wahyu itu ke dalam hatinya. Dalam hal ini, Nabi s.a.w. tidak
melihat sesuatu apa pun, hanya beliau merasa bahawa itu sudah berada di
dala, kalbunya. Sebagai contohnya Nabi pernah bersabda mengatakan:
"Ruhul
Quddus mewahyukan ke dalam kalbuku bahawa seseorang itu takkan mati
sehingga dia menyempurnakan rezkinya yang telah ditetapkan oleh ALlah".
· Malaikat
menampakkan dirinya kepada Nabi s.a.w. menyerupai seorang lelaki yang
mengucapkan kata-kata kepadanya dan peristiwa seperti ini sering
disaksikan oleh para sahabat.
· Wahyu
datang kepadanya seperti gemercingnya loceng. Cara inilah yang amat
berat dirasakan Nabi s.a.w. Kadang-kadang pada keningnya terdapat peluh,
meskipun turunnya wahyu itu di musim dingin yang sangat. Ada ketikanya,
unta beliau terpaksa berhenti dan duduk kerana merasa amat berat.
Diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit:
" Aku
adalah penulis wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah. Aku lihat
Rasulullah ketika turunnya wahyu itu seakan-akan diserang demam yang
kuat dan peluhnya bercucuran seperti permata. Kemudian setelah selesai
turunnya wahyu, barulah beliau kembali seperti biasa".
· Malaikat
menampakkan dirinya kepada Nabi s.a.w. dalam rupanya yang sebenar
sebagaimana yang terdapat di dalam surah An- Najm ayat 13 & 14 :
"Sesungguhnya Muhammad telah melihatnya pada kali yang lain (kedua). Ketika (ia berada) di Sidratulmuntaha".
Malaikat
mewahyukan kepada Nabi dari atas langit seperti yang berlaku dalam
peristiwa al-Isra` wal Mikraj . Sesetengah ulamak berpendapat baginda
saw juga pernah berbicara secara langsung dengan Allah dan menerima
wahyu seperti yang berlaku pada Nabi Musa.Perkara ini merupakan suatu
khilaf di kalangan para ulamak.
Al-Quran mempunyai beberapa fungsi penting, diantaranya ialah:
Pertama: Sebagai Mukjizat Nabi Muhammad SAW.
Al-Quran
merupakan bukti kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad saw, sekaligus
ianya menjadi bukti bahawa Al-Quran merupakan firman Allah SWT, bukannya
ucapan atau ciptaan nabi Muhammad saw sendiri. Rasullulah saw telah
menjadikan Al-Quran sebagai senjata bagi menentang orang-orang kafir
Quraisy. Dan kita dapati bahawa mereka sememangnya tidak mampu
menghadapinya, padahal mereka mempunyai kemahiran menggubah
bahasa-bahasa yang indah dalam ucapan dan sajak-sajak mereka. Al-Quran
secara prisipnya telah mengemukakan cabaran kepada bangsa Arab menerusi
tiga peringkat iaitu :
Peringkat pertama.
Mencabar mereka dengan keseluruhan Al-Quran dalam uslub umum yang
meliputi orang Arab sendiri dan orang lain, manusia malah jin, dengan
cabaran yang mengalahkan dan menjatuhkan mereka secara padu sebagaimana
firmanNya.
"Katakanlah:
Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa
Quran ini, niscaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa
dengannya, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian
yang lain." (17 : 88)
Peringkat kedua. Mencabar dengan sepuluh surah sahaja daripada Al-Quran. Sebagaimana firmanNya:
“Bahkan
mereka mengatakan "Muhammad telah membuat-buat Al-Quran." Katakanlah:
Jika demikian, maka datangkanlah sepuluh surah yang dibuat-buat yang
menyamainya, dan panggillah orang-orang yang kamu sanggup (memanggilnya)
selain Allah, jika kamu memang orang-orang yang benar. Jika mereka
(yang kamu seru itu) tidak menerima seruanmu, ketahuilah, sesungguhnya
Al-Quran itu diturunkan dengan ilmu Allah" (11 : 13-14)
Peringkat ketiga. Mencabar mereka hanya dengan satu surah daripada Al-Quran sahaja. Sebagaimana firmanNya:
"Atau
(patutkah) mereka mengatakan: Muhammad membuat-buatnya (Al-Quran).
(Kalau benar yang kamu katakan itu), cubalah datangkan satu surat
seumpamanya" (TTQ 10 : 38)
Dan cabaran ini diulangi di dalam firmanNya:
"Dan
jika kamu tetap dalam keadaan ragu tentang Quran yang Kami wahyukan
kepada hamba Kami (Muhammad saw), maka buatlah satu surat saja yang
semisal Al-Quran itu…" (2 : 23 )
Kedua: Sebagai Sumber Hukum Dan Aturan Hidup.
Ayat-ayat
Al-Quran mengandungi peraturan tentang hukum-hukum siyasah negara ,
sosial , pendidikan , pengadilan , akhlak dan sebagainya. Semua aturan
dan hukum ini wajib dijadikan sebagai pandangan hidup bagi seluruh kaum
muslimin dan umat manusia untuk mengatasi semua permasalahan hidup yang
dihadapinya. Sememangnya penyelesaian yang diberikan oleh syariat Islam
adalah merupakan penyelesaian yang sebenar-benarnya kearan ia
satu-satunya perundangan yang dapat memenuhi fitrah manusia itu sendiri.
Kemampuan syariat Islam dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan
kehidupan manusia inilah yang akan menjadikan Al-Quran sebagai mukjizat
abadi yang paling menonjol di muka bumi.
WAALLAHUA'LAM